Wednesday, September 22, 2010

Pekerja asing diwajib miliki insurans



KUALA LUMPUR 21 Sept. – Dianggarkan 50 peratus daripada 3.1 juta pekerja asing berdaftar di negara ini tidak dilindungi insurans dan bagi yang memilikinya, perlindungan yang diberikan masih belum memadai.
Berikutan itu, sejumlah 19 peratus bil bernilai RM64 juta yang dikenakan ke atas pekerja asing yang mendapat rawatan di hospital kerajaan dalam tempoh lima tahun lalu masih tertunggak.
Sehubungan itu, Makmal Penjagaan Kesihatan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) merangka formula supaya semua pekerja asing diwajibkan mempunyai perlindungan insurans.
Bagi perlindungan insurans sedia ada yang masih belum mencukupi, ia perlu ditambah ke tahap yang lebih baik.
Menurut makmal berkenaan, dengan cara itu Malaysia akan berdiri megah di mata dunia dengan mewajibkan semua pekerja asing memiliki insurans serta menambah perlindungan insurans sedia ada yang pada masa ini ketinggalan berbanding negara serantau seperti Singapura dan Thailand.
Ia juga akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik untuk bekerja selain tidak menjejaskan pihak majikan kerana insurans tersebut hanya memberi kesan minimum terhadap kos penggajian pekerja.
Berdasarkan cadangan makmal tersebut, premium insurans sebanyak RM200 perlu dikongsi bersama antara majikan dan pekerja asing terbabit.
Sumbangan daripada majikan adalah untuk menambah had perlindungan sedia ada untuk kes kematian, kecacatan kekal atau sementara manakala bagi pekerja pula ia adalah untuk melindungi mereka daripada penyakit bukan berkaitan pekerjaan.
Jumlah pampasan yang dicadangkan makmal tersebut ialah tidak kurang RM40,000 untuk kes kemalangan maut akibat kecederaan semasa bekerja atau kecacatan penuh.
Bagaimanapun, kadar tersebut belum dimuktamadkan kerana masih belum menerima input daripada syarikat-syarikat insurans di negara ini.

No comments:

Post a Comment