Wednesday, September 22, 2010

Enam lokasi di Marina Bay, Ophir-Rochor bakal dimajukan bernilai tinggi


SINGAPURA 21 Sept. - Enam lokasi strategik di Marina Bay dan Ophir-Rochor yang akan dimajukan secara bersama oleh Malaysia dan Singapura adalah 'lokasi putih' dengan nilai hartanah mencecah bilion ringgit.
Keenam-enam plot tanah di lokasi putih itu boleh dibangunkan sebagai pusat komersial, hotel atau kawasan kediaman mewah.
Dua antaranya terletak di kawasan Ophir-Rochor, dengan nilai semasa mencapai $S950 dolar juta (RM2.2 bilion) manakala empat lagi di Marina South pula berupaya mencecah nilai $1.8 bilion (RM4.14 bilion) hingga $2.2. bilion (RM5.06 bilion).
The Straits Times Singapura dalam laporannya yang memetik pakar-pakar hartanah di republik itu menyatakan nilai hartanah ini dibuat berdasarkan faktor-faktor seperti kedudukan tanah, penggunaan tanah, pasaran semasa serta nilai tanah di kawasan pembangunan berdekatan.
Menurut Kementerian Pembangunan Negara Singapura pula, empat bidang tanah di di Marina South mempunyai keluasan 2.62 hektar dan keluasan lantai 341,000 meter persegi. Ia terletak di tengah kelompok pusat kewangan dan perniagaan di Marina Bay dan tidak jauh dari resort bersepadu Marina Bay Sands.
Ketika tanah berhampiran Pusat Kewangan Marina Bay (MBFC) dijual secara tender, harganya mencecah nilai $2 bilion dolar (RM4.6 bilion) secara keseluruhan.
Ia meliputi 244,000 meter persegi tanah fasa satu MBFC dan apabila tender jualan dibuka pada tahun 2005, bidaan utama mencecah $1 bilion (RM2.3 bilion).
Nilai dan harga hartanah di kawasan tersebut melambung hampir 15 peratus apabila fasa kedua seluas 194,000 meter persegi dijual pada tahun 2007 dengan harganya mencecah $907 juta (RM2.1 bilion).
Apabila dibangunkan nanti, nilai empat lot tanah di Marina South dijangka meningkat berlipat kali ganda.
Ia adalah situasi menang-menang bagi Malaysia kerana mereka memperolehi dua lokasi utama.
Malaysia dan Singapura semalam memuktamadkan tawaran pertukaran tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan bersetuju isu caj pembangunan tiga bidang tanah dirujuk ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa.
Tiga bidang tanah yang terkandung dalam Perkara-perkara Yang Dipersetujui (POA) terletak di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands.
Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong mengumumkan perkara tersebut pada sidang akhbar bersama sempena lawatan kerja Perdana Menteri Malaysia ke republik itu. - UTUSAN
Pada Mei lalu kedua-dua negara bersetuju menubuhkan syarikat usaha sama M-S Pte Ltd bagi memajukan tanah KTMB seluas 217 hektar di Tanjong Pagar, Kranji, Woodlands serta tiga lot di Bukit Timah.
Tanah milik KTMB itu kini ditukar dengan empat bidang tanah yang terletak di pusat kewangan dan perniagaan iaitu Marina Bay dan dua lagi di kawasan Ophir-Rochor berdekatan Kampung Glam.

No comments:

Post a Comment