Sunday, September 19, 2010

KSAH bakal miliki dewan baru bernilai RM5 juta


2010/09/19

ALOR SETAR: Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) bakal mendapat sebuah dewan baru dikenali sebagai Dewan Centennial bernilai RM5 juta bagi memberi kemudahan kepada warga kolej itu menjalankan aktiviti. 

Presiden persatuan bekas pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHOCA), Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah, berkata pihaknya akan membina dewan itu bagi mewujudkan satu mercu tanda sempena sambutan KSAH 100 tahun pada 2008.
"Dewan yang ada sekarang dibina pada tahun 1926 dan hanya dapat menampung kira-kira 500 pelajar saja, tetapi Dewan Centennial KSAH akan dapat menampung sehingga 1,200 pelajar," katanya sebelum majlis Malam SAHOCA, semalam.
Beliau berkata, dewan yang akan dibina awal tahun depan itu menggunakan reka bentuk lama dengan mengekalkan keunikan bangunan utama serta dewan sedia ada iaitu Dewan Iskandar, berukuran 2,300 meter persegi serta mampu menampung enam gelanggang badminton dan dijangka siap pada 2013. 

"Apabila siap nanti, ia akan dilengkapi dengan penghawa dingin dan kemudahan internet, selain dapat digunakan oleh orang ramai untuk majlis keraian dan juga sukan. Harap dalam masa tiga tahun, dewan itu dapat disiapkan dengan sempurna dan menjadi kebanggan warga KSAH," katanya. 

Syed Unan Mashri berkata, sehingga kini, dana yang terkumpul bagi pembinaan dewan itu berjumlah RM2.5 juta, termasuk sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM1.5 juta. 

"Kita juga akan mendapatkan bantuan daripada kerajaan pusat agar projek pembinaan dewan dapat dijalankan dengan sempurna," katanya sambil menambah mereka yang berminat memberikan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi Tabung Dewan Centennial KSAH yang dilancarkan malam tadi oleh Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu''adzam Shah, yang juga bekas pelajar kolej berkenaan. - Bernama 

No comments:

Post a Comment