Siling Pejabat Tanah dan Galian Perlis di Jalan Penjara di Kangar runtuh malam tadi berikutan hujan lebat.
Kejadian
itu menyebabkan sebahagian besar ruang pejabat digenangi air dan
peralatan pejabat termasuk komputer dan dokumen tertentu mengalami
kerosakan.
Pengerusi Jawatankuasa Tanah dan Perhutanan Perlis, Datuk Mat Rawi Kassim berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 malam ini ketika hujan lebat.
Runtuhan
dipercayai berpunca daripada masalah saluran paip di bahagian bumbung
tersumbat menyebabkan air melimpah dan memasuki ruang siling pejabat
sehingga mengakibatkan siling itu runtuh.
Mat Rawi ketika
ditemui pemberita lewat semalam berkata kejadian itu disedari oleh
pengawal keselamatan yang bertugas di situ dan telah memaklumkannya
kepada kakitangan pejabat itu.
Katanya beliau telah
mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis mengambil tindakan segera
membaiki segala kerosakan dan mengkaji tahap keselamatan bangunan yang
berusia hampir tiga puluh tahun itu.
Kerja-kerja awal seperti
pembersihan lantai bangunan dijalankan serta merta termasuk kawalan
sistem elektrik sementara kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan oleh
pihak kontraktor.
"Akibat kejadian itu, sistem pendaftaran
berkomputer seperti hak milik, pindah milik dan gadaian serta sistem
pungutan hasil tanah diberhentikan seketika atas nasihat Bahagian Letrik
JKR untuk mengelak berlaku litar pintas," kata Mat Rawi yang diiringi
Pengarah tanah dan Galian Perlis, Hisan Abu Bakar.
Bagaimanapun,
katanya kejadian itu hanya menyebabkan gangguan tugas pada Unit
Pendaftaran kerana rangkaian komputer di situ telah terjejas manakala
bahagian-bahagian lain akan beroperasi seperti biasa.
- Bernama
No comments:
Post a Comment