Tuesday, September 21, 2010

Bangunan runtuh: Dua syarikat pembinaan didakwa

Dua pengarah syarikat pembinaan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berasingan di Petaling Jaya berhubung kes runtuhan Jaya Supermarket di Seksyen 14, Petaling Jaya yang meragut tujuh nyawa,pada 28 Mei tahun lalu.

Dua syarikat itu iaitu Syarikat Lian Hup Earth Work & Construction Sdn Bhd diwakili pengarahnya Jason Hee Kok Heng dan Syarikat Pembinaan CW Yap Sdn Bhd diwakili pengarahnya Yap Choon Wai.

Syarikat Lian Hup itu didakwa sebagai majikan telah gagal untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerjanya semasa bekerja dengan gagal mematuhi sistem kerja selamat yang disediakan untuk kerja-kerja perobohan bangunan di projek cadangan meroboh bangunan pejabat dan kompleks beli belah dan membina semula bangunan kompleks beli-belah tujuh tingkat dan empat tingkat bawah tanah tempat letak kereta di Jalan Semangat, Seksyen 14, Petaling Jaya pada 5 petang, 28 Mei lalu.

Untuk kesalahan tersebut, syarikat itu didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua- duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, syarikat pembinaan CW Yap Sdn Bhd juga didakwa sebagai majikan telah gagal untuk menjalankan pengusahaannya dengan cara memastikan, setakat yang praktik, bahawa orang-orang lain yang bukan pekerjanya yang mungkin tersentuh oleh pengusahaannya itu tidak terdedah kepada risiko kepada keselamatan dan kesihatan.

Syarikat tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi, tarikh dan pada masa yang sama.

Untuk kesalahan itu, syarikat CW Yap Sdn Bhd didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua -duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian 28 Mei tahun lalu, lebih kurang pukul 5 petang, keruntuhan struktur bangunan telah berlaku di bekas tapak Jaya Supermarket yang mengandungi bangunan pejabat sembilan tingkat dan kompleks membeli-belah empat tingkat di Jalan Semangat, Seksyen 14, Petaling Jaya.

Kemalangan itu telah mengakibatkan bahagian empat tingkat bangunan Jaya Supermarket dengan parkir di tingkat bawah tanah runtuh sepenuhnya dan mengorbankan tujuh nyawa. 

Kemalangan berlaku ketika kerja perobohan bahagian bangunan tersebut sedang dijalankan. 

Kedua-dua syarikat pembinaan berkenaan diwakili peguam Ooi Hueng Miin manakala pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Selangor iaitu Jaafar Leman dan Hazlina Yon.
Terdahulu, Jaafar memohon agar kes kedua-dua syarikat berkenan digabungkan dalam mahkamah yang sama atas alasan kejadian tragedi itu melibatkan waktu, tarikh dan lokasi yang sama.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Hakim Rozina Ayob membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 27 Sept ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

- Bernama

No comments:

Post a Comment